Kerajaan belum menerima cadangan rasmi untuk pinda Akta 695

PARLIMEN: Kerajaan belum menerima cadangan rasmi untuk pinda Akta 695 – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menerima cadangan secara rasmi daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) bagi mengelakkan ruang campur tangan eksekutif dalam urusan pelantikan hakim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan mengambil perhatian akan cadangan daripada pelbagai pihak agar Akta 695 dipinda.

Walau bagaimanapun, kata beliau, perkara tersebut memerlukan pemerhatian mendalam terlebih dahulu oleh kerajaan memandangkan ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sebarang cadangan pindaan kepada Akta 695 akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang berkepentingan.

“Setakat ini, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang merupakan sebuah badan bebas belum lagi mencadangkan secara rasmi kepada kerajaan berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta 695,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang memintanya menyatakan apakah kerajaan bercadang meminda Akta 695 bagi memelihara kebebasan institusi kehakiman dan mengelakkan ruang campur tangan eksekutif dalam urusan pelantikan hakim. 

Sebelum ini, Majlis Peguam pada 2022 pernah menggesa supaya cadangan pelantikan lima daripada sembilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman tidak dibuat oleh Perdana Menteri, dilaksanakan segera demi memastikan kebebasan badan kehakiman.

Presidennya ketika itu, Karen Cheah Yee Lynn berkata, pihaknya percaya pelaksanaan cadangan itu sangat bertepatan serta mampu memastikan kebebasan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam mengurus tadbir hal ehwalnya sendiri.

Menurutnya kuasa Perdana Menteri dalam proses pelantikan dan pemilihan hakim di bawah Akta 695 dimansuhkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN