KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk membangunkan sekolah dengan konsep menegak bagi mengoptimumkan penggunaan tanah yang terhad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, DBKL bercadang membangunan sekolah tersebut, di mana ia menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat.
Menurut beliau, cadangan berpandukan konsep diguna pakai beberapa negara maju itu akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan bagi tujuan pelaksanaannya pada masa akan datang.
“Konsep ini digunakan secara meluas di Australia dan ia dibina secara konvensional, merangkumi padang serta blok bangunan dipadatkan menjadikan sekolah dua blok antara 10 hingga 17 tingkat.
“(Pembinaan sekolah) ini, kita (tidak) mengorbankan elemen penting dalam pelajaran, sukan dan rekreasi, selain ia memanfaatkan ruang atas bumbung,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai pembangunan kemudahan asas seperti dewan dan sekolah di sekitar Kuala Lumpur memandangkan keluasan tanah yang terhad. – UTUSAN