PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sejumlah individu yang dipercayai terlibat menularkan berita palsu di media sosial berkait Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 baru-baru ini.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka dan pihak lain yang didapati terlibat dalam menularkan dan menyebarkan berita palsu bersifat agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
“Saya ingin menyentuh dakwaan yang tular di media sosial kononnya dalam sidang Majlis Raja-Raja baru-baru ini ada satu undian yang dibuat, disebut angka 7-2.
“Hal ini adalah satu mainan yang sejujurnya tidak ada sebarang undian yang dilakukan dalam Majlis Raja-Raja baru-baru ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu tangkap layar di media sosial berhubung dakwaan bahawa Majlis Raja-Raja telah membuat undian untuk mengambil tindakan kepada kerajaan Perpaduan kerana ingkar untuk melaksanakan perintah berkait pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata dakwaan yang tular itu, usaha tersebut telah dipersetujui dengan undian 7-2.
Media pada 5 Februari lalu melaporkan, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 yang berlangsung di Istana Negara.
Seterusnya pada 7 Februari, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Istana Negara memaklumkan, perkara itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN