MELAKA: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui terapung di Sungai Melaka di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Ng Ah Lek, 72, merupakan seorang penganggur dan masih bujang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 1.29 petang daripada seorang anggota polis pelancong yang sedang menjalankan tugas.
Menurutnya, tubuh si mati pada mulanya dijumpai oleh petugas Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yang kemudiannya mengangkat dan meletakkan mayat di kaki lima sungai.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap dengan seluar jean paras lutut, berbaju kemeja-T, berkasut dan berstoking.
“Terdapat kesan luka garisan pada kaki kanan mangsa, namun tiada sebarang tanda kecederaan mencurigakan yang menunjukkan unsur jenayah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN