Malaysia perkukuh hubungan dengan AS, elak kenaikan tarif

Malaysia perkukuh hubungan dengan AS, elak kenaikan tarif

ZAFRUL Tengku Abdul Aziz/IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu mengeratkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi rakan dagang ketiga terbesar negara dan supaya tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang dilakukan kepada negara-negara lain.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah perdagangan AS mencatat RM324.9 bilion pada tahun lalu iaitu bersamaan dengan 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Menurut beliau, eksport ke AS berjumlah RM198.6 bilion iaitu bersamaan dengan 13.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dan import dari AS pula mencapai RM126.3 bilion atau 9.2 peratus daripada jumlah import negara.

Katanya, AS turut merupakan antara pelabur terbesar dan sehingga kini, Malaysia sudah menjadi destinasi pilihan pelaburan untuk lebih 600 syarikatnya.

“Sehubungan dengan ini, kerajaan sedang berusaha mengambil langkah proaktif dalam mengekalkan serta mengeratkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang baik dan dinamik dengan AS.

“(Ini) supaya (Malaysia) tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang berlaku kepada China, Kanada dan Mexico,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) menyatakan langkah kerajaan dalam menangani isu geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan dunia.

Ku Abd Rahman berkata, Malaysia kemungkinan dikenakan kenaikan tarif yang akan memberi kesan terhadap eksport negara terutamanya ke AS.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai rakan dagang dan pelaburan yang boleh dipercayai oleh semua rakan dagangnya termasuk AS.

Jelasnya, ia termasuk melalui ekosistem pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur, peraturan kawalan eksport dan pengurusan perdagangan strategik efektif serta pematuhan piawaian antarabangsa yang meyakinkan para pelabur.

“Berdasarkan rekod, nilai keseluruhan eksport barangan pada 2024 adalah sebanyak RM1.508 trilion, di mana hampir 40 peratus daripada export keseluruhan barangan daripada Malaysia.

“Daripada jumlah eksport E&E (elektrik dan elektronik)  ini pula, sebanyak RM387 bilion atau 64 peratus adalah produk semikonduktor.

“Pada 2024, pasaran ke Amerika Syarikat adalah di dalam kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport daripada Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, kementerian berpandangan risiko kesan negatif kepada prestasi eksport semikonduktor adalah minima buat masa ini.

“Selain itu, rekod pelaburan juga menunjukkan pelaburan dari Amerika Syarikat masih kukuh dan merupakan antara pelabur terbesar, suku ketiga 2024, jumlahnya adalah sebanyak RM5.1 bilion,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN