PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi penjualan 100 peratus kepentingan ekuitinya dalam Malakoff Utilities Sdn. Bhd. (MUSB) kepada KJ Technical Services Sdn.Bhd. (KJTS).
Pelupusan MUSB, sebuah perniagaan bukan teras dalam kumpulan Malakoff, membolehkan syarikat merealisasikan nilai pelaburannya dengan melupuskan pada harga yang kompetitif.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pelupusan ini adalah langkah strategik bagi Malakoff untuk memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian tenaga lestari.
“MUSB telah memainkan peranan penting dalam pembangunan KL Sentral dengan membekalkan sehingga 153 Megawatt (MW) tenaga elektrik dan air sejuk untuk penyaman udara kepada bangunan komersial dan kediaman utama.
“Sebagai penyedia eksklusif bagi perkhidmatan penting ini, MUSB telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan infrastruktur pusat transit utama ini,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, langkah ini selaras dengan strategi Malakoff untuk memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan tinggi serta memperkukuh fokus perniagaan terasnya.
“Tambahan pula, cadangan pelupusan ini akan meningkatkan kecekapan operasi dengan membebaskan sumber kewangan dan operasi.
“Ini akan membolehkan Malakoff mengukuhkan syarikat-syarikat subsidiarinya dan meneroka peluang perniagaan baharu yang lebih menguntungkan.
“Dana yang diperoleh daripada transaksi ini akan digunakan untuk pelaburan masa depan dan modal kerja, sekali gus menyokong rancangan pertumbuhan dan pengembangan Malakoff yang berterusan,” katanya.
Majlis menandatangani SPA berlangsung di Ibu Pejabat Malakoff di Plaza Sentral, Kuala Lumpur Sentral, dengan kehadiran Anwar Syahrin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan KJTS, Sheldon Wee Tah Poh sebagai penandatangan.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KJTS, Azura Azman. – UTUSAN










