Mahasiswa UiTM dinobat Tokoh Pengguna Negeri Sembilan

Mahasiswa UiTM dinobat Tokoh Pengguna Negeri Sembilan

S. VEERAPAN (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Kepenggunaan Peringkat Negeri Sembilan 2024 kepada Muhammad Fareez Hafizie (tengah) pada Majlis Apresasi dan Sesi Libat Urus KPDN Negeri Sembilan bersama Rakan Strategik Kepenggunaan 2024 di Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Prihatin dalam isu kepenggunaan selain aktif menyampaikan maklumat mengenai hak-hak pengguna kepada komuniti menjadi faktor seorang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban dinobatkan sebagai Tokoh Kepenggunaan Peringkat Negeri Sembilan 2024.

Muhammad Fareez Hafizie Mohammed Raihan, 20, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat berkata, dia telah terlibat dan menganjurkan pelbagai program kepenggunaan sejak tahun 2021.

“Kesemua program kepenggunaan yang dianjurkan itu bertepatan dengan skop advokasi kepenggunaan bagi membolehkan komuniti lebih memahami dan tahu isu-isu kepenggunaan.

“Menerusi anugerah sebegini ia menaikkan lagi semangat saya untuk terus ke depan bagi menyampaikan maklumat dan ilmu berkaitan kepenggunaan, ” katanya.

Dia ditemui pada Majlis Apresiasi dan Sesi Libat Urus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan bersama Rakan Strategik Kepenggunaan 2024 di Nilai di sini, semalam.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Muhammad Fareez Hafizie berkata, dia juga sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapanya supaya selalu mempertahankan hak sebagai seorang pengguna.

“Sebagaimana diketahui, isu – isu berkaitan kepenggunaan sangat banyak sama ada kita sebagai pengguna tahu atau tidak.

“Sama ada kita mahu menyuarakan ataupun tidak jika mendapati ada sebarang bentuk penipuan berlaku .Contohnya seperti kesalahan menyorokkan barangan dan kartel.

“Jadi disinilah peranan yang akan saya usaha dan teruskan demi untuk memberikan lebih banyak pendedahan dan advokasi kepada komuniti setempat,”katanya yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Pengguna Siswa (GPPS) UiTM.

Sementara itu, Veerapan berkata, program penganugerahan sebegini bertujuan sebagai penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam advokasi kepenggunaan kepada masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN