ALOR GAJAH: Pemandu lori lima tan yang merempuh sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini, Rabu lalu disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan hasil soal siasat lelaki itu mengaku mengambil dadah tersebut.
“Saringan ujian air kencing suspek juga positif. Tiada apa-apa barang (dadah) ditemui pada suspek.
“Kita telah menahan suspek dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki nekad melompat keluar dari lori dipandunya selepas dikejar anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejauh 25 kilometer selama hampir satu jam.
Lori membawa muatan barang pembinaan itu kemudian merempuh sebuah rumah mengakibatkan kerosakan pada pintu pagar, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tembok rumah.
Lelaki itu berjaya dicekup orang ramai sebelum diserahkan kepada polis. – UTUSAN