Lelaki bunuh peniaga wanita diberkas di Terengganu

Lelaki bunuh peniaga wanita diberkas di Terengganu

SUSPEK kes pembunuhan seorang peniaga wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh seorang peniaga makanan yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 53 di Terengganu awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira 5.30 pagi.

“Susulan tangkapan itu, polis turut merampas barangan kemas seperti sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen bagi membantu siasatan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh berkenaan dengan tertangkapnya suspek dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Sementara itu lelaki berkenaan direman selama tujuh hari sehingga 21 Februari ini.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Jenayah, Nor Izzati Zakaria, kira-kira pukul 2 petang ini.

Permohonan reman dikemukakan oleh polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang berkain pelikat dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan diiringi polis.

Mangsa, Norshamira Zainal, 37, dipercayai dipukul dengan objek keras sebelum mayat mangsa diletakkan di tepi Sungai Kuantan.

Mayat mangsa kemudian ditemukan sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentua mangsa yang mencarinya selepas tidak pulang ke rumah selepas menghantar tempahan makanan.

Sementara itu, suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin ,31, berkata, dia bersyukur dengan penangkapan suspek tersebut.

“Saya memang pernah jumpa dia, kalau boleh saya mahu orang yang sama ditahan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia baru sahaja berjumpa dengan suspek Isnin lalu yang membuat tempahan sambal bilis goreng arwah isterinya untuk tiga hari berturut-turut.

“Pada hari Isnin, dia menempah dua balang dan pada hari Selasa, dia menempah 10 balang ikan bilis. Untuk kedua-dua hari itu saya ada menemani isteri saya.

“Pada hari Rabu, isteri saya tidak memaklumkan tentang tempahan yang dibuat,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya dia dan arwah isterinya bertanggapan positif terhadap suspek yang sudah berusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN