Lapan ahli sindiket tipu kerja didenda RM48,000

Lapan ahli sindiket tipu kerja didenda RM48,000

KESEMUA tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. PIX/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lapan ahli sindiket tipu kerja dalam talian didenda RM6,000 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menawarkan pekerjaan tidak wujud, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, See Poh Ying, Wong Cheah Yi, Cheng Wei Yee, Ee Ching Jin, Chow Iing Qnan, Wong Sin Kien, Gao Jiayu dan Yu Quan masing-masing berusia antara 21 dan 34 tahun sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama terlibat dalam pakatan jahat jenayah dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa daripada warganegara Barbados.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Februari 2025.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama 120B(1) KK dan Seksyen 34 KK.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh terlibat sindiket tipu kerja yang menyasarkan mangsa dari sebuah negara di kepulauan Caribbean menerusi modus operandi mengiklankan tawaran pekerjaan palsu di laman sosial Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui platform Whatsapp atau Telegram.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan dengan mengambil kira jenayah pusat panggilan yang semakin berleluasa, sementara itu peguam Dennis Chong Chin Wei yang mewakili kesemua tertuduh merayu hukuman berbentuk denda paling minimum dikenakan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 seorang atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya