SEMENYIH: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan isu pembinaan sekolah yang tertangguh akan diberi perhatian serius bagi memastikan projek-projek tersebut disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemantauan ketat akan dilaksanakan bagi memastikan projek pembinaan sekolah tidak menjadi “projek sakit” yang akan memberi kesan buruk terhadap kualiti pendidikan dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kerajaan komited menyelesaikan isu ini dengan pendekatan baharu yang lebih efisien.
“Kami akan pastikan semua agensi yang terlibat dalam pembinaan sekolah memberi komitmen sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, projek-projek pembinaan sekolah perlu disiapkan mengikut jadual bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif untuk pelajar.
Beliau berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua pelajar di seluruh negara.
Malah, kementerian juga akan terus memastikan projek-projek yang tertangguh diberi keutamaan untuk diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan demi kepentingan masa depan pendidikan negara.
“Kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam projek-projek ini bagi mencapai matlamat tersebut amat penting.
“Kami berharap pendekatan ini dapat mempercepatkan proses pembinaan sekolah dan memastikan setiap pelajar mendapat ruang yang sesuai untuk belajar dan berkembang,” ujarnya. – UTUSAN