KKM dalam kajian pendekkan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah

KKM dalam kajian pendekkan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam peringkat akhir kajian untuk kembali memendekkan tempoh latihan Pegawai Perubatan  Siswazah (HO) kepada setahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam peringkat akhir kajian untuk kembali memendekkan tempoh latihan Pegawai Perubatan  Siswazah (HO) kepada setahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, langkah itu selaras dengan perancangan semasa, dan beberapa penambahbaikan dibuat terhadap proses latihan termasuk bilangan pakar perubatan dan bilangan hospital berkepakaran yang semakin meningkat.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap sistem latihan sedia ada serta perkembangan terkini dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia, tempoh latihan selama setahun dijangka lebih efisien, dengan syarat kualiti latihan ditingkatkan.

“Cadangan juga selari dengan amalan di negara-negara lain. KKM telah menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Akademi Perubatan Malaysia (AMM), pusat-pusat pengajian tinggi dan ketua-ketua kepakaran.

“Selain itu, cadangan ini adalah untuk menangani isu-isu yang sering dibangkitkan oleh HO seperti beban kerja tinggi dan kekurangan pengiktirafan. Fokus utama adalah untuk meningkatkan pendedahan klinikal dan motivasi mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, dari segi perundangan, cadangan ini adalah selaras dengan Akta Perubatan 1971 [Akta 50] yang mewajibkan tempoh latihan minimum selama satu tahun untuk HO.

Katanya, tempoh latihan sebelum ini adalah setahun sebelum ia dipanjangkan kepada dua tahun mulai tahun 2008 kerana berlaku peningkatan bilangan graduan perubatan pada masa itu, namun tanpa mempunyai bilangan pakar perubatan dan Pegawai Perubatan (MO) senior yang mencukupi untuk menyelia dan menyokong latihan mereka.

Muhammad Radzi berkata, sekiranya cadangan pemendekkan tempoh HO ini dilaksanakan, tahun pertama latihan HO akan merangkumi Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan serta Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

Jelasnya, pada tahun kedua, mereka akan berperanan sebagai MO junior dengan bertugas di Jabatan Pediatrik, Ortopedik dan Perubatan Kecemasan secara giliran.

“Latihan dalam bidang anastesia, psikiatri dan perubatan keluarga pula akan diserapkan ke dalam jadual latihan di jabatan-jabatan yang relevan bagi memastikan proses latihan lebih efisien.

“KKM akan tetap memastikan HO mencapai tahap kompetensi yang diperlukan sebelum beralih ke peranan sebagai MO junior,” katanya.

Dalam konteks ini, kata beliau, penyelia-penyelia di pusat latihan akan memainkan peranan penting dalam melatih, memantau dan menilai prestasi mereka.

Katanya, sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan, tempoh latihan boleh dipanjangkan bagi memastikan kualiti dan kompetensi mereka terjamin.

“Adalah ditegaskan bahawa pemendekan tempoh latihan ini bukan untuk menangani kekurangan MO, tetapi bertujuan untuk meningkatkan produktiviti melalui latihan yang lebih berfokus dan efisien.

Maklumat yang relevan akan dikongsi setelah ada perkembangan baharu berhubung perkara ini. KKM tetap komited untuk meningkatkan kualiti latihan perubatan dan memastikan perkhidmatan sentiasa memenuhi keperluan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya