Kerajaan bantu subsidi RM6.25 per kampit

Kerajaan bantu subsidi RM6.25 per kampit

KETIKA harga RM2.60 sekilogram ditetapkan, harga belian padi oleh pengilang adalah sekitar RM900 ke RM1,100 per tan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Nilai subsidi RM150 juta untuk 24 juta kampit beras tempatan adalah bersamaan kerajaan membantu sebanyak RM6.25 bagi per kampit beras tempatan yang sekali gus meredakan sedikit ‘kesakitan’ dalam usaha mengembalikan semula beras tersebut di pasaran.

Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, ia bermakna kerajaan membuat pelarasan tersebut mengikut harga lantai belian padi RM1,500 yang menyaksikan harga sebenar beras tempatan RM32.25.

Katanya, bagaimana mekanisme subsidi tersebut akan disalurkan, beliau tidak mendapat sebarang makluman lagi namun berharap sebaik-baiknya ia dapat diuruskan supaya tiada ketirisan berlaku.

“Bagi saya, untuk melakukan apa jua reformasi dalam industri, ia perlu bermula dengan mengaku bahawa ada kesilapan dan kelemahan supaya langkah pertama nanti berada pada titik yang betul dan tidak menemui kegagalan di pertengahan jalan. Saya melihat RM150 juta untuk tempoh enam bulan tersebut juga sebagai usaha melegakan kesakitan. 

“RM150 juta itu hanya satu pain killer untuk kembalikan beras tempatan di kedai-kedai dan reformasi industri enam bulan seterusnya selepas ini adalah lebih penting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad pula berkata, pengumuman kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan metrik selain mengekalkan harga beras tempatan dengan suntikan dana RM150 juta telah meleraikan kemelut yang melanda petani serta pengilang.

“Pada musim 2024 lalu, pihak kilang membeli padi pada harga lebih RM1,800 per tan metrik namun bagi musim 2025, harga telah diturunkan kembali mengikut harga lantai kerajaan yang menyebabkan petani mengalami tekanan daripada segi kewangan.

“Apabila harga lantai ini menjadi paras pembelian utama, petani menghadapi cabaran besar kerana kos benih, baja, racun dan penyelenggaraan sawah tidak mengalami penurunan yang setara.

“Kita berharap kerajaan selepas ini turut mempertimbangkan langkah-langkah sokongan seperti subsidi input pertanian dan insentif kepada petani kecil,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN