Jumlah murid mendaftar Tahun Satu meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah murid mendaftar Tahun Satu meningkat

WONG Kah Woh menyantuni murid pada hari pertama persekolahan sesi 2025/2026 di SJKC) Chung Tack di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 461,198 murid Tahun Satu mendaftar di seluruh negara bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 14,116 orang berbanding 447,082 orang pada sesi persekolahan lalu.

Katanya, seramai 460,494 pelajar Tingkatan Satu pula menjadi sebahagian daripada 2,161,435 pelajar yang memulakan sesi akademik tahun ini.

“Sesi persekolahan 2025/2026 bagi Kumpulan A telah bermula semalam melibatkan beberapa negeri dan hari ini bagi Kumpulan B dengan jumlah keseluruhan seramai 5.14 juta orang.

“Bagi tahun ini, terdapat peningkatan murid yang mendaftar Tahun Satu berbanding tahun lalu seramai 461,198 orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack, di sini hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai cuaca panas ketika ini, beliau berkata, ibu bapa digalakkan untuk membekalkan air minuman yang mencukupi untuk keperluan anak-anak mereka.

Malah katanya, pihak sekolah juga akan memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk murid-murid.

“Seperti tahun-tahun lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah keselamatan bagi keselesaan murid semasa cuaca panas.

“Terdapat garis panduan untuk diikuti pihak pengurusan dan pentadbir sekolah dalam menghadapi cuaca panas di mana tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut keadaan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan sentiasa merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung cuaca panas.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 329,344 pelajar di Perak melibatkan 141,436 pelajar sekolah menengah dan 187, 908 pelajar sekolah rendah memulakan sesi persekolahan di 1,105 sekolah hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 30,532 orang merupakan murid Tahun Satu manakala 32,612 orang pula adalah pelajar Tingkatan Satu.

“Seramai 18,173 murid prasekolah di 573 institusi prasekolah turut memulakan sesi persekolahan hari ini di seluruh negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN