PUCHONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti pelaksanaan beberapa prosedur tambahan dalam usaha memastikan tayar kenderaan berat di pasaran menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara langkah sedang dipertimbangkan termasuk mewajibkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk melabel tayar kenderaan menjalani pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian MS 224.
“Kita akan memperketatkan lagi pemantauan dan pengesahan terhadap tayar celup di pasaran bagi memastikan pengguna tidak mudah tertipu dengan produk yang tidak menepati spesifikasi keselamatan,” katanya ketika sidang akhbar selepas operasi di Jalan Meranti Jaya, Taman Industri Meranti Permai, di sini semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Lori Tipper Malaysia, Datuk Michael Loo Leep Chye menyuarakan keperluan segera bagi satu kajian menyeluruh terhadap tayar lori dan treler di pasaran.
Katanya, kajian itu penting bagi memastikan kualiti tayar yang digunakan benar-benar selamat, sekali gus mengelakkan kemalangan berpunca daripada pemilihan tayar yang tidak menepati standard.
Sementara itu, operasi berkenaan turut melibatkan JPJ, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Standard Malaysia dan SIRIM.-UTUSAN










