Johor rangka pelan induk JS SEZ

Johor rangka pelan induk JS SEZ

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan merangka pelan induk untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi tempoh lima tahun supaya pembangunan yang dirancang lebih strategik.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan induk itu juga bagi memastikan setiap sembilan zon yang diwujudkan di kawasan tersebut akan dibangunkan secara sekata dan tidak hanya tertumpu pada sesuatu kawasan sahaja.

Katanya, pelan induk itu dijangka dimuktamadkan menjelang Jun ini dan peruntukan RM5 bilion yang diberikan kerajaan Persekutuan dapat diurus dengan baik.

“Walaupun ini visi yang besar untuk membangunkan JS-SEZ dan Johor secara keseluruhan, kita kena ingat bahawa Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari, begitu juga Shenzhen yg menjadi rujukan JS-SEZ.

“Oleh itu, kerajaan negeri mewujudkan pelan induk bagi JS-SEZ untuk tempoh lima tahun bagi memastikan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Pusat dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya dalam sesi bual bicara sempena Misi Perniagaan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan UOB Malaysia di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion sebagai dana infrastruktur di JS-SEZ, dengan mekanisme dana berkenaan bergantung kepada kerajaan Persekutuan dan negeri.

Onn Hafiz berkata, pembangunan JS-SEZ secara tidak langsung akan membantu membangunkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berada dalam kawasan zon ekonomi khas itu.

“Kami percaya bahawa Johor boleh menjadi  bandar paling sesuai untuk didiami, itu sasaran kita. Justeru, kita mahu enam PBT ini dapat dinaik taraf sedikit demi sedikit menjadi bandar pintar tahap 4 menjelang 2030.

“Ini bermakna, kita perlu melabur dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan teknologi selain bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan hasrat ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN