BALIK PULAU : Sambutan terhadap jeruk terutama jeruk madu yang menjadi salah satu produk makanan warisan negeri ini masih kekal tinggi terutamanya ketika musim cuti sekolah dengan permintaan meningkat dari seluruh negara.
Pengusaha Mutiara Jeruk Madu, Fazil Akasyah Othman, 53, berkata, perniagaan jerukterus berkembang walaupun menghadapi persaingan sengit di pasaran.
Fazil berkata, industri jeruk terutama jeruk madu tetap relevan kerana menjadi pilihan ramai sebagai kudapan tradisional yang hanya boleh didapati di Pulau Pinang.
“Semasa cuti sekolah dan musim perayaan, permintaan meningkat mendadak, kadang-kadang kami tak cukup stok.
“Namun jumlah pengusaha jeruk yang agak ramai di negeri ini dapat menampung permintaan yang tinggi daripada pelanggan sepanjang musim cuti persekolahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Fazil, dia memulakan perniagaan Mutiara Jeruk Madu pada tahun 2010 selepas meninggalkan kerjaya sebagai jurutera kanan di sebuah kilang di Bayan Lepas.
“Bermula dari projek ladang mangga, saya mula mengembangkan usaha ke dalam pembuatan jeruk selepas mengikuti kursus bersama Mardi dan Fama. Saya lihat Pulau Pinang memang terkenal dengan jeruk, jadi saya ambil peluang ini untuk membina jenama Mutiara Jeruk Madu sendiri,” jelasnya.
Katanya, dia bersyukur kerana jenama Mutiara Jeruk Madu sudah dikenali di seluruh negara dan turut dijual secara dalam talian melalui Shopee, TikTok, serta platform e-dagang lain.
“Daripada segi pengeluaran, Jeruk Mutiara mampu menghasilkan sekitar 25 hingga 30 tan jeruk setahun. Produk kami merangkumi pelbagai jenis buah termasuk kedondong, betik, mangga, dan pala dengan harga bermula dari RM15 hingga RM50 bergantung kepada saiz pek,” katanya.
Fazil berkata, antara cabaran utama dalam perniagaan ini adalah persaingan daripada pengeluar lain dan isu logistik bagi penghantaran pesanan dalam talian.
“Kadang-kadang barang lambat sampai atau pecah semasa penghantaran, itu menyebabkan masalah kepada pelanggan.
“Saya bersyukur kerana jualan dalam talian kini menyumbang sekitar 30 peratus daripada jumlah pendapatan perniagaan. Ia bantu kami capai lebih ramai pelanggan terutama mereka yang tidak berpeluang datang ke Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN










