KUALA LUMPUR: Jenazah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd., Muhammad Basir Abu Bakar, 45, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras di sini pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
Pengebumian jenazah dihadiri ahli keluarga dan sahabat handai termasuk rakan media.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan di Masjid Taman Taming Jaya, Balakong kira-kira pukul 9.37 pagi.
Adik Allahyarham, Siti Salha Abu Bakar, 40, berkata, arwah seorang abang yang sangat baik selain selalu memperjuangkan hak dan keperluan adik-adiknya serta rakan sekerja.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada saudara mara dan sahabat Allahyarham yang hadir bagi membantu menguruskan jenazah dari awal hingga akhir.
“Alhamdulillah, semua urusan pengebumian arwah berjalan dengan lancar. Allahyarham pergi dengan aman. Anak-anak juga kuat walaupun sedih,” katanya.
Muhammad Basir menghidap penyakit jantung meninggal dunia pada 6.45 petang semalam di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang akibat masalah kesihatan kronik.
Allahyarham meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun. Isteri Allahyarham, Nor Azlina Jaafar, bekas jurufoto Kumpulan Utusan telah meninggal dunia pada 17 Oktober 2023. – UTUSAN