Insiden Tanjung Rhu: Maritim siasat SOP penggunaan senjata api 

Insiden Tanjung Rhu: Maritim siasat SOP penggunaan senjata api 

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kanan) ketika hadir pada acara Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api berkaitan insiden di Tanjung Rhu, Banting, Selangor, bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada masa yang sama, pihak polis juga sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan tugas semasa kejadian itu berlaku.

“Siasatan dijalankan dalam dua peringkat. Pertama, siasatan dalaman oleh Maritim Malaysia dan kedua, polis juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk menentukan sama ada terdapat sebarang perlanggaran dalam pelaksanaan tugas.

“Penggunaan senjata api dan SOP berkaitan akan diteliti dalam siasatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, di sini hari ini.

Terdahulu, lima lelaki warga Indonesia, termasuk seorang yang maut, telah ditembak di perairan Tanjung Rhu selepas didakwa merempuh bot peronda dan menyerang pegawai Maritim Malaysia bulan lepas.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui bahawa anggota Maritim Malaysia sering berdepan situasi yang mengancam nyawa semasa menjalankan tugas.

“Anggota Maritim ini terdedah kepada ancaman nyawa. Seperti kes tembakan itu, bagaimana mereka (Maritim) nak akses situasi tersebut terutamanya pada pukul 3 pagi di tengah laut dalam keadaan gelap. Kita hanya dapat memahami situasi sepenuhnya jika kita berada di tempat mereka,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, individu warga asing yang terlibat dalam insiden tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan migran.

“Siasatan polis masih dijalankan ketika ini dan pihak polis juga telah menahan seorang individu yang bertindak sebagai ‘transporter’ beberapa hari selepas insiden itu.

“Siasatan awal mendapati kes ini mungkin berkaitan dengan aktiviti penyeludupan migran. Oleh itu, pihak polis juga akan menyiasat di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya.

Kata Saifuddin, kes penyeludupan migran adalah satu jenayah serius dan beliau akan memberikan perkembangan lanjut kepada media dari semasa ke semasa mengenai kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya