IPOH: Sejarah kesultanan dan keindahan kawasan istana mahu dijadikan aset untuk menarik lebih ramai pelancong China berkunjung ke Kuala Kangsar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee menganggap bandar diraja itu mempunyai kecantikan latar belakang seperti kota cerita dongeng Disney dan Cinderella.
Katanya, fokus akan dibuat untuk menarik pelancong China ke bandar tersebut yang baginya selama ini kurang diketengahkan.
“Saya secara peribadi terpesona dengan Kuala Kangsar, ia sangat cantik. Saya kurang faham kenapa promosi sebelum ini tidak begitu bersungguh-sungguh.
“Kedudukan istana di atas bukit, bersebelahan sungai dengan latar belakang langit biru. Ia sangat cantik umpama cerita Disney,” katanya selepas menghadiri program kerjasama pelancongan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dengan penggiat pelancongan China di sini semalam.
Beliau berkata, Kuala Kangsar juga mempunyai banyak kombinasi produk tradisional dan kehidupan kampung yang sebenarnya ingin dilihat oleh pelancong asing kerana tiada di tempat mereka.
“Kuala Kangsar boleh dikatakan kurang diterokai. Menerusi program kerjasama bersama penggiat pelancong dari China, mereka dibawa ke Kuala Kangsar untuk mengunjungi kawasan Istana yang bagi saya tercantik di Malaysia umpama gambaran dalam cerita Cinderella ,” katanya.
Kuala Kangsar yang turut mempunyai Masjid Ubudiah dijangka menjadi pusat penting bagi meraikan 500 tahun usia kesultanan Perak pada tahun 2028. – UTUSAN