KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari kepada seorang ibu tunggal kerana menyembunyikan duit berjumlah RM170,000, tahun lalu.
Hakim Azrul Darus memutuskan demikian selepas tertuduh, Jariton Sa’adiah Buhari, 64, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, Jariton Sa’adiah telah meminjamkan akaun bank peribadinya untuk membantu menyembunyikan duit berjumlah RM170,000 milik seorang wanita berketurunan Cina di antara 14 Februari sehingga 8 Mac 2024 di Kitchen Bar, Brickfields, di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran.
Jariton Sa’adiah yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan alasan dia seorang ibu tunggal, warga emas dan hanya kelangsungan hidupnya bergantung kepada anak-anak.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tangkapan 30 Disember lalu.
Menurut fakta kes, wanita Cina yang juga pengadu kes telah mengenali seorang lelaki bernama James menerusi platform Facebook Dating. Lelaki itu kemudian meminta untuk meminjam wang wanita berkenaan kerana sakit gigi.
Pinjaman tersebut berlanjutan sehingga berjumlah lebih RM2 juta itu yang mana wang tersebut telah disalurkan kepada 19 akaun bank termasuk akaun tertuduh menerusi 73 transaksi secara dalam talian. – UTUSAN










