ALOR SETAR: Penanaman harumanis di Kedah masih tidak begitu baik disebabkan keluasan ladang serta jumlah petani yang terlibat dalam tanaman itu terlalu kecil berbanding Perlis.
Menurut Pengerusi Persatuan Harumanis Kedah, Othman Ismail, ketika ini jumlah petani yang terlibat secara aktif di Kedah hanya seramai 200 orang melibatkan keluasan ladang kira-kira 125 hektar.
Katanya, sedangkan di Perlis yang negerinya jauh lebih kecil berbanding Kedah memiliki hingga 2,600 pengusaha harumanis dengan keluasan ladang 1,700 hektar.
“Dengan keluasan Kedah 9,800 kilometer persegi berbanding Perlis yang cuma 821 kilometer persegi, saya anggap ini satu bentuk kegagalan. Kalau orang kata Perlis ada tanah batu kapur yang sesuai untuk tanaman harumanis, kita lagi banyak tanah batu kapur.
“Bukit kita lagi banyak, begitu juga dengan infrastruktur. Rakyat kita lebih ramai tetapi kita telah membuang masa selama lebih 15 tahun untuk tidak terus membangunkan harumanis di Kedah. Saya cabar Jabatan Pertanian buat sesuatu untuk kembangkan harumanis di Kedah,” katanya.
Semalam, persatuan itu menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani serta Jabatan Pertanian ke Ladang Harumanis Usima Agriculture Sdn. Bhd. di sini.
Sementara itu, Dzowahir berkata, kerajaan negeri memiliki hasrat untuk menggalakkan lebih ramai individu di negeri ini terlibat dalam penanaman harumanis.
“Pada tahun ini, anggaran hasil harumanis di Kedah dijangka meningkat kepada 235 tan metrik berbanding cuma 220 tan metrik tahun lalu. Banyak kawasan bendang yang boleh ditanam harumanis bagi membolehkan pesawah menerima pendapatan sampingan,” katanya. – UTUSAN