PETALING JAYA: Para pesawah menaruh harapan cukup tinggi kepada kerajaan agar pengumuman harga lantai padi baharu esok pada kadar relevan dengan situasi semasa atau sekurang-kurangnya sehingga RM1,800.
Walaupun kenaikan itu tidak mencapai seperti hasrat pesawah selama ini, namun mereka berharap dapat meringankan beban untuk mengimbangi kos pertanian yang meningkat.
Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 62, berkata, dia yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas dua hektar di Kampung Padang Besar Selatan, Perlis, amat berharap harga baharu lantai padi dinaikkan RM1,800 per tan atau sekurang-kurangnya RM1,600 per tan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia menangguh terlebih dahulu tuaian yang sepatutnya sejak minggu lalu sehingga harga lantai padi baharu diumumkan.
“Ketika ini, hanya segelintir pesawah sahaja yang sudah menuai hasil disebabkan masalah serangan penyakit bena perang.
“Jika harga lantai RM1,800 per tan termasuk subsidi RM500, kami mampu menjana pendapatan RM2,300 per tan sekali gus meringankan sedikit bebanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai padi yang munasabah tanpa perlu membebankan pengguna, di Dewan Rakyat minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia susulan hasil perbincangan yang diadakan bersama Kementerian Kewangan bagi memastikan keseimbangan harga dalam pasaran beras tempatan.
Sejak sebulan lalu, akhbar ini secara berterusan membangkitkan rintihan dan keresahan para pesawah berikutan penurunan harga belian padi sehingga RM1,300 serta keluhan pengilang bumiputera yang terpaksa gulung tikar kerana sudah tidak mampu lagi bertahan ekoran kerugian berterusan.
Sebaliknya, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, harga lantai belian padi yang baharu dijangka tidak akan mencecah RM1,800 seperti diharapkan golongan pesawah untuk mengimbangi kos pertanian yang meningkat.
Katanya, jangkaan itu setelah mengambil kira RM150 juta yang disalurkan kerajaan bagi menampung sebahagian daripada kenaikan harga lantai padi dalam tempoh enam bulan ini.
“Berapa (kenaikan harga lantai baharu) kita tidak pasti tapi yang pasti bukan RM1,800. Harga baharu nanti berdasarkan kenaikan kos-kos dan mengambil kira tidak akan membebankan semua rakyat.
“Permintaan para petani untuk menikmati harga belian padi sehingga RM1,800 itu disebabkan mereka pernah meraihnya sebelum ini, di mana para pengilang yang menawarkan harga itu bagi setiap tan padi yang dijual petani.
“Maka kita perlu tunggu sehingga Khamis ini (esok) untuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan harga lantai belian padi yang baharu,” katanya
Seorang lagi pesawah, Zaidi Nasir, 35, berkata, harga lantai belian padi pada paras RM1,300 sebelum ini sudah tidak relevan memandangkan kos jentera, tenaga manusia serta input pertanian telah meningkat sehingga 30 peratus, manakala kos mengusahakan tanaman seluas 0.3 hektar sahaja sudah mencecah RM2,038.
“Kita sebenarnya cukup lega apabila kerajaan akhirnya akan mengumumkan harga lantai padi yang baharu dan diharap ia akan berbaloi dengan segala keringat dicurahkan para pesawah. Kita berharap permintaan pesawah agar harga lantai belian padi itu naik kepada RM1,800 akan diikuti oleh kerajaan,” katanya.
Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, kebanyakan pesawah menangguhkan sementara proses menuai padi sehingga kerajaan mengumumkan harga lantai padi baharu.
“Banyak padi yang sudah masak tetapi petani tak mahu tuai lagi sebab mahu tunggu harga padi baharu. Harga sekarang RM1,300 per tan sahaja, jadi mereka tunggu harga baharu dengan harapan ditetapkan pada kadar RM1,800 per tan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, harga siling beras tempatan sudah 16 tahun tidak berubah pada kadar RM26 bagi berat 10 kilogram dan sudah tiba masanya disemak.
“Jika tidak diseragamkan harga, beras tempatan berharga RM26 tetap juga tidak ada di pasaran dan lebih baik tetapkan pada satu gred sahaja, memberi situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya.










