SERI KEMBANGAN: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan bantuan tunai kepada anak-anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar.
Fahmi berkata, beliau terkesan dan bersimpati dengan tiga anak Muhammad Basir atas pemergian bapa mereka pada petang semalam, akibat masalah kesihatan.
Beliau turut menambah bantuan tunai kepada anak-anak Allahyarham selain bantuan daripada Tabung Kasih@Hawana.
“Saya sangat terkesan kerana waktu kami melawat dahulu, antara perkara yang kita usahakan adalah internet percuma untuk keluarga ini kerana tiga orang anak yang masih belajar.
“Hari ini, saya sangat terkesan kerana anak-anak ini sekarang benar-benar yatim piatu, jadi terima kasih saya ucapkan kepada pihak Bernama yang mengusahakan bantuan dan sumbangan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menziarahi anak-anak Muhammad Basir dan menyerahkan bantuan tunai kepada mereka.
Allahyarham menghidap penyakit jantung meninggal dunia pada 6.45 petang kelmarin di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang akibat masalah kesihatan kronik.
Beliau meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun. Isteri Allahyarham, Nor Azlina Jaafar, bekas jurufoto Kumpulan Utusan meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau berhasrat membayarkan bil telefon bagi ketiga-tiga anak Muhammad Basir untuk tempoh setahun.
Jelasnya, usaha itu bagi memastikan anak-anak Allahyarham tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhubung dengan ahli keluarga lain.
“Insya-Allah, sekiranya postpaid (pasca bayar), saya akan bantu bayarkan internet mereka untuk setahun,” katanya.
Terdahulu,.jenazah Muhammad Basir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Pengebumian jenazah dihadiri ahli keluarga dan sahabat handai termasuk rakan media. Sebelum itu jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan di Masjid Taman Taming Jaya, Balakong kira-kira pukul 9.37 pagi.
Adik Allahyarham, Siti Salha Abu Bakar, 40, berkata, arwah seorang abang yang sangat baik selain selalu memperjuangkan hak dan keperluan adik-adiknya serta rakan sekerja.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada saudara mara dan sahabat Allahyarham yang hadir bagi membantu menguruskan jenazah dari awal hingga akhir.
“Alhamdulillah, semua urusan pengebumian arwah berjalan dengan lancar. Allahyarham pergi dengan aman. Anak-anak juga kuat walaupun sedih,” katanya. – UTUSAN