PETALING JAYA: Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) meluluskan ExecuJet MRO Services Malaysia, anak syarikat milik penuh Dassault Aviation untuk menjalankan penyelenggaraan lapangan dan asas untuk pesawat Falcon 7X dan Falcon 2000EX EASy yang didaftarkan di China.
Pensijilan itu membolehkan ExecuJet Malaysia menjalankan pemeriksaan penyelenggaraan asas sehingga termasuk pemeriksaan 4C, iaitu pemeriksaan paling berat dan menyeluruh untuk pesawat berkenaan.
Kelulusan itu juga amat signifikan kerana merupakan kali pertama ExecuJet MRO Services Malaysia diluluskan untuk menyelenggara pesawat Falcon yang berdaftar di China.
Naib Presiden Wilayah Asia di ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata, China adalah pasaran penerbangan perniagaan yang sangat besar dan berdekatan dengan Malaysia menjadikannya pasaran yang ideal untuk pihaknya sasarkan.
“Kami melihat peningkatan jumlah jet perniagaan berdaftar di China yang terbang ke Malaysia dan kawasan Asia Tenggara yang lain, disebabkan oleh hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara China dan ASEAN.
“Kami juga adalah pusat servis Falcon milik kilang dengan kemudahan bertaraf dunia, disokong oleh tenaga kerja yang turut merangkumi kakitangan yang fasih berbahasa Mandarin, menjadikan kami berada pada kedudukan terbaik untuk berkhidmat kepada pengendali dari China,” katanya dalam kenyataan.
CAAC juga telah memperbaharui pensijilan ExecuJet MRO Services Malaysia sebagai organisasi penyelenggaraan yang diluluskan untuk pesawat Bombardier dan Gulfstream.
Pada 2019, CAAC juga telah meluluskan ExecuJet untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan barisan dan berat bagi pesawat Gulfstream GIV serta varian pesawat Bombardier Challenger dan Bombardier Global Express.
China merupakan pasaran penerbangan perniagaan terbesar di Asia Pasifik dengan hampir 300 buah pesawat. – UTUSAN










