Enam dihadap ke mahkamah kerana merusuh sesama sendiri 

Enam dihadap ke mahkamah kerana merusuh sesama sendiri 

ENAM lelaki dibawa ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di George Town atas tuduhan merusuh sesama sendiri sehingga mendatangkan kecederaan, Rabu lalu.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan terlibat dalam rusuhan sesama sendiri sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian di Batu Feringghi, Rabu lalu.

Seorang daripada tertuduh iaitu, K. Arul Kevin Raj, 19, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut ketika ia dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Bagaimanapun, lima lagi tertuduh, D. Cheah, 24; M. Raagendra, 24; S. Saravanan, 27; Rahul, 23, dan M. Yuven, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka dituduh secara bersama-sama telah terlibat dalam rusuhan sehingga mendatangkan kecederaan kepada Raagendra, Saravanan dan Yuven dengan menggunakan topi keledar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat meletak kenderaan di sebuah cafe di Batu Feringghi, pada 12 Februari lalu, kira-kira pukul 1.32 pagi.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ashraf Ali manakala peguam, V. Joseph, mewakili tiga tertuduh iaitu Saravanan, Rahul dan Yuven. Sementara itu, tiga lagi tertuduh iaitu Cheah, Arul Kevin Raj dan Raagendra diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Difahamkan, ketika rusuhan itu berlaku, tiga daripada mereka iaitu Raagendra, Saravanan dan Yuven turut mengalami kecederaan.

Terdahulu, ketika prosiding, Nurul Atikah menawarkan wang jaminan sebanyak RM8,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Joseph bagaimanapun memohon mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan kepada anak guamnya memandangkan mereka terpaksa menanggung keluarga.

“Saravanan bekerja sebagai kakitangan penyelenggaran dengan gaji berjumlah RM1,500 sebulan dan dia perlu menanggung keluarga, Rahul pula bekerja sebagai pelayan juga dengan gaji sebanyak RM1,500 manakala Yuven pula sudah berkahwin serta bekerja sebagai mekanik,” katanya.

Peguam dari YBGK yang mewakili tiga lagi tertuduh iaitu Cheah, Arul Kevin Raj dan Raagendra turut memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan mereka.

Majistret kemudian menetapkan setiap tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM3,500 dan menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen selain mengarahkan Arul Kevin untuk mengemukakan laporan sosial berikutan usianya yang masih muda sebelum hukuman diputuskan oleh mahkamah selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN