Empat jam harungi kesesakan lalu lintas

Empat jam harungi kesesakan lalu lintas

KENDERAAN pengguna perlahan melalui bandar Gua Musang, Kelantan semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Aliran trafik menghala ke bandar Gua Musang bergerak perlahan menyaksikan ada dalam kalangan pengguna terpaksa meredah perjalanan lebih empat jam selepas anak-anak Kelantan di perantauan pulang ke ibu kota selepas bercuti di kampung halaman ma­sing-masing sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pergerakan kende­raan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai perlahan serta aliran trafik bertali arus ketika melalui kawasan lampu isyarat dan kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) ber­hampiran bandar ini.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Azidi Aziz, 40, berkata, dia meredah perjalanan selama empat jam dari Tanah Merah bermula 10 pagi dan tiba di Gua Musang pukul 2 petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat Rantau Manis di sini dan mendapati kawasan itu dipenuhi dengan banyak kenderaan pengguna.

“Aliran trafik mula perlahan di beberapa kawasan terutamanya Kuala Krai menuju ke Gua Musang. Bagaimanapun, keadaan lalu lintas masih terkawal dan saya mahu pulang ke Kuala Lumpur selepas pulang ke kampung halaman untuk bercuti selama lima hari,” katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Abdul Hafiz Yaacob, 35, berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan.

Katanya, laluan menuju ke Gua Musang bermula dari Sungai Asap perlahan dengan kelajuan kenderaan kira-kira 50 ki­lometer sejam.

“Saya sekeluarga memilih bertolak awal kerana esok (hari ini) sudah mula bekerja. Jumlah kenderaan dijangka semakin bertambah keluar dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

“Saya berharap pengguna jalan raya memandu secara ber­hemah dan selamat tiba ke de­s­tinasi masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini