Cadangan menteri agama bukan Islam, rujuk Perlembagaan sebagai panduan - Utusan Malaysia

Cadangan menteri agama bukan Islam, rujuk Perlembagaan sebagai panduan

DR. ZULKIFLI Hasan (barisan belakang, tengah) bersama penerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025. di Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Isu cadangan supaya diwujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam tidak seharusnya terus dipolemikkan dan perkara itu perlu merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, semua pihak perlu bertenang terhadap perkara itu, lebih-lebih lagi ketika umat Islam akan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, kerangka Perlembagaan Persekutuan sudah jelas dan mencukupi yang tidak perlu kepada sebarang perubahan atau cadangan daripada mana-mana pihak terutamanya yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum.

“Kita semua disaran merujuk semula kepada Perlembagaan Persekutuan apatah lagi ketika umat Islam hendak menyambut bulan Ramadan.

“Kita hendak menyambut Ramadan,  jadi nak tenang-tenang dan damai-damai sahaja. Kita tak nak ada banyak apa-apa perkara yang jejas keharmonian kaum.

“Jadi, semua pihak perlu rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menyampaikan bantuan barangan keperluan persekolahan kepada sebahagian daripada 500 penerima terpilih dalam Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025.

Setiap seorang penerima mendapat satu set masing-masing baju sekolah, kasut, tudung, alat tulis dan beg yang bernilai RM175.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ramdani Abd. Karim.

Zulkifli yakin dengan kerangka (Perlembagaan Persekutuan ) sedia ada dan kebijaksanan pimpinan utama negara dapat menyelesaikan isu itu dengan sebaiknya.

“Saya yakin kepimpinan negara boleh menangani, menyantuni apa yang berlaku (isu) di negara kita.

“Insya-Allah dengan kebijaksanan dan sokongan semua, kita dapat menangani perbezaan pandangan itu secara rahmah dan baik untuk negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN