PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan sedikit seiring dengan pasaran ekuiti utama dunia lain, dipengaruhi pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menangguhkan kenaikan tarif ke atas Mexico dan Kanada selama sebulan lagi.
Pada pukul 5 petang semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.93 mata kepada 1,564.56 berbanding 1,553.63 pada penutupan kelmarin.
Indeks tersebut dibuka lebih tinggi sebanyak 3.04 mata pada 1,557.03.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ketidaktentuan yang dicetuskan oleh dasar Trump memberikan kesan besar kepada pasaran kewangan dunia.
“Trump juga dijangka akan bercakap dengan Presiden China, Xi Jinping, mencetuskan harapan bahawa perjanjian boleh dicapai yang boleh mengelakkan perang perdagangan yang lebih luas.
“Trump minggu lalu mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan China yang dijangka berkuat kuasa Selasa.
“Jelas, ini menggariskan kesediaan Trump untuk berunding, berpotensi dengan langkah tarif sebagai cip tawar-menawar dan bukannya keputusan dasar yang tegas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Aimi Zulhazmi, bursa akan kekal pada paras yang sama sepanjang minggu ini.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran saham negara secara umumnya masih dalam jajaran sederhana.
“Dalam tempoh tiga bulan terakhir ini, indeks masih berlegar-legar dalam jajaran 1,550 hingga 1,600 disebabkan sentimen pelaburan asing masih lagi lemah memandangkan tiada petunjuk signifikan baharu dan juga tiada usaha yang signifikan dilakukan oleh kerajaan untuk menarik pelabur luar institusi.
“Pelabur runcit juga takut untuk memasuki pasaran kerana tiada sentiman baharu yang berpanjangan.
“Kebanyakan pelabur runcit lebih mengutamakan keuntungan modal jangka pendek berbanding pulangan dalam bentuk dividen,” katanya.
Menurut Mohd. Rizal, peranan pelabur institusi besar seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dirasakan amat penting untuk melonjak pasaran ekuiti di Malaysia.
Beliau turut menjangkakan pasaran saham minggu hadapan juga masih sama.
“Ini boleh dilihat dari segi volum saham yang diniagakan masih lagi kecil dan sederhana,” katanya.
Menurut satu laporan berita, AS bersetuju menangguhkan kenaikan tarif selama 30 hari sebagai pertukaran kepada konsesi berkaitan penguatkuasaan sempadan dan jenayah dengan Mexico dan Kanada.
Walau bagaimanapun, tarif ke atas China masih dijadualkan berkuat kuasa.
Trump, mengambil langkah menangguhkan tarif ke atas Mexico selepas cadangan awalnya untuk mengenakan tarif ke atas tiga negara mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global pada Isnin. – UTUSAN










