MELAKA: Kerja-kerja baik pulih premis niaga Street Kitchen di Bangunan Stadthuys, Jalan Laksamana di sini yang mengalami kerosakan awal tahun ini masih tidak dapat dijalankan kerana peruntukan daripada Jabatan Warisan Negara belum diluluskan.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri perlu menunggu kelulusan tersebut kerana kerja-kerja pembaikan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya seperti bangunan lain.
Menurutnya, kerosakan bangunan bersejarah yang dipelihara serta dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Saya harap Jabatan Warisan Negara dapat meluluskan peruntukan yang dipohon oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kita memulakan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera.
“Hendak baik pulih bangunan yang rosak itu tidak boleh sewenang-wenangnya kerana ia ada SOP daripada UNESCO tanpa merosakkan struktur premis itu serta menjamin aset warisan negara itu terus dipulihara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis makan malam sempena Persidangan Warisan Kebangsaan 2025 di sini, kelmarin. – UTUSAN