GEORGE TOWN: Bapa kepada seorang kanak-kanak yang tercekik gula-gula merayu orang ramai tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa susulan kejadian menimpa anaknya dalam kejadian petang kelmarin.
Sebaliknya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berharap semua pihak mendoakan kesejahteraan anaknya, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang kini tenat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Saya dan isteri, Nuraini Mohamad Isa tidak mahu salahkan sesiapa. Kami hanya minta doa sahaja, bukan simpati. Doakan anak saya agar ada keajaiban Allah berlaku.
“Saya juga tidak salahkan apa yang anak saya makan. Kita makan nasi pun kadang-kadang boleh tersedak. Benda macam itu boleh berlaku. Saya tak salahkan sesiapa, saya maafkan semua,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di HPP di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, Mohammad Fahmi Hafiz dipercayai membeli dua biji gula-gula getah dari gerai berdekatan sekolahnya di Butterworth sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Farhani Muhammad Fikri, 33, berkata, dia memuat naik tentang status anak saudaranya tersebut media sosial sebelum ini untuk memohon doa daripada orang ramai memandangkan keadaannya yang kritikal ketika ini.
“Kami tidak salahkan sesiapa, peniaga, penjual atau mahu menutup periuk nasi sesiapa yang menjual coklat ini. Soal dia tercekik gula-gula bukan salah sesiapa. Semuanya sudah Allah takdirkan dia makan gula-gula itu dia tercekik. Kami mohon doa semua agar ada keajaiban berlaku,” katanya. UTUSAN









