Agensi tunggal kawal pintu sempadan negara dilancarkan

Agensi tunggal kawal pintu sempadan negara dilancarkan

FADILLAH Yusof meninjau di pintu masuk dengan melihat sistem kod respons pantas (QR) selepas Majlis Peluncuran Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia, di KLIA Terminal. -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dilancarkan hari ini menjadi agensi tunggal dalam mengawal keselamatan membabitkan 141 pintu masuk negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan agensi itu selari dengan hasrat kerajaan ke arah pembentukan sebuah agensi tunggal di pintu masuk negara sekali gus menandakan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan Madani dalam mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lancar dan cekap.

Katanya, AKPS akan berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber daripada pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi pintu-pintu di seluruh negara, sama ada lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ingin melihat perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di pintu masuk, proses kerja yang lebih mudah dan ringkas.

“Karenah birokrasi boleh diminimumkan dengan tiada lagi fungsi-fungsi bertindih antara agensi. Ini sangat penting agar lapangan terbang dan pintu masuk ke negara kita lebih berdaya saing memudahkan serta memberikan pengalaman pertama yang mengesankan kepada pelawat yang berkunjung ke negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Fadillah berkata, penubuhan AKPS ditunjangi lima objektif utama antaranya menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu struktur yang sebelum ini pengurusan pintu masuk melibatkan pelbagai fungsi dan agensi seperti kastam, imigresen, kuarantin dan pelbagai lagi sering membawa kepada kekeliruan, pertindihan tugas dan halangan komunikasi. 

“Dengan menyatukan pelbagai fungsi utama secara bersepadu di bawah tanggungjawab sebuah agensi, Malaysia mampu mewujudkan pendekatan yang terselaras untuk pengawalan sempadan yang efektif.

“Kedua, bagi memudahkan aktiviti perdagangan dan perjalanan. Malaysia adalah pintu masuk utama ke rantau ini dan pintu masuk negara kita memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelancongan,” katanya.

Selain itu kata Fadillah, tiga objektif lain adalah memperkukuh aspek keselamatan dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan serta perlindungan dan keselamatan sempadan negara meliputi domain udara, laut dan darat melalui kolaborasi bersepadu bersama agensi-agensi.

Dalam pada itu, katanya, AKPS diharap agar berwaspada dalam mengukuhkan aspek keselamatan melalui pelaksanaan teknologi canggih dan amalan perkongsian data.

 Beliau memberikan contoh ancaman terkini yang memerlukan penggunaan kecerdasan buatan dan aplikasi canggih untuk mempertingkatkan keupayaan risikan di sempadan.

 Bergerak ke depan, Fadillah mahu AKPS menerima inovasi dan kebolehsuaian dijadikan teras dalam strategi organisasi itu serta sentiasa proaktif selaras perubahan semasa.

 Kerajaan pula ujarnya, bersedia melabur bagi meneroka kaedah dan sistem baharu yang diharap mampu meningkatkan keupayaan pengurusan dengan pelbagai sumber terbaik. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini