SEREMBAN: Sebanyak 265 buah lokasi tapak pelupusan sampah haram telah pun ditutup sepanjang tahun lalu di Negeri Sembilan daripada keseluruhan 406 lokasi ‘hotspot’ yang dikenal pasti.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar sehubungan itu berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian untuk menutup baki tapak pelupusan sampah haram yang masih aktif.
“Kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah fungsi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“Pelaksanaan operasi di tapak pelupusan sampah haram akan terus dibuat disamping tindakan segera akan diambil sekiranya mendapati kewujudan lokasi tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tiada garis panduan ditetapkan setakat ini untuk sebarang pembangunan semula di kawasan tapak pelupusan sampah haram termasuk mengambil kira risiko tanah di situ.
“Kebiasaannya tapak pelupusan sampah haram yang dikenal pasti bukan secara besar-besaran tetapi kecil sahaja.
“Apabila kami mengenal pasti lokasi berkenaan tindakan segera dengan arahan penutupan serta merta akan diambil dalam usaha membasmi tapak pelupusan sampah haram ini.
“SWCorp bersama agensi berkaitan akan berperanan mengeluarkan sampah haram daripada lokasi berkenaan kecuali lokasi tapak pelupusan sampah haram melibatkan bahan kimia,” katanya.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 2,634 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara dianggap tidak selamat untuk pembangunan sama ada binaan komersial ataupun rumah persendirian kerana berisiko runtuh.
Risiko berkenaan dikenal pasti berikutan tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah sebelum ini tidak mempunyai kemampatan tinggi, mudah bergerak dan mengancam sebarang struktur bangunan yang dibina di atasnya. – UTUSAN