KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen, sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang diseur untuk memberikan sokongan terhadap rang undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dijangka proses pengundiannya pada minggu depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau mengharapkan semua ahli Parlimen memberikan sokongan kepada RUU tersebut bagi membolehkan Parlimen memperoleh ‘kemerdekaan’.
Menurut beliau, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 memperoleh kebebasan untuk melaksana tugas-tugas seperti yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi kita tidak lagi dianggap sebahagian daripada eksekutif tetapi kita harus terpisah dari badan ini (Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apatah lagi dari segi kewangan, amalan yang sedang berlaku ialah walaupun Bajet sudah disediakan untuk Parlimen tetapi kita tidak mempunyai kebebasan sebebasnya untuk membelanjakan peruntukan yang diberikan.
“Ini menyebabkan kita rasa ada kekangan di situ, khususnya apabila kita melaksanakan program-program yang memberikan impak tinggi kepada kegiatan di Parlimen termasuk komunitif selektif,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntuk penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.
Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.
Dalam pada itu, Johari menjelaskan apabila Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) diluluskan, maka urusan dewan akan dikendalikan oleh Yang Dipertua Dewan sendiri.
“Kita akan tubuhkan MPP yang dipengerusikan bersama oleh Speaker Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat. Untuk itu, apa juga urusan yang akan melibatkan isu-isu dalam dewan akan ditentukan oleh majlis.
“Dalam MPP itu juga akan terdiri juga daripada Timbalan-timbalan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dua orang ahli Dewan Negara, empat orang ahli Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara serta Dewan Rakyat dan sebagainya,” jelasnya.
Tambahnya, MPP akan bertindak seperti Kabinet iaitu mentadbir setiap perkara yang berlaku di dalam dewan termasuk hal-hal berkaitan dasar. – UTUSAN










