PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah dijangka menjadi tumpuan hari ini.
Penganalisis undang-undang dan politik, Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, kewujudan titah adendum tersebut bakal menjadi asas kepada keputusan hakim yang mendengar permohonan itu.
“Persoalan ini amat penting. Jika mahkamah mengatakan ia wujud, maka timbul persoalan mengapa ia tidak dilaksanakan kerana titah adendum melibatkan Yang di-Pertuan Agong yang seharusnya dihormati dan dilaksanakan dalam sistem demokrasi berperlembagaan.
“Pengabaian titah ini seolah-olah akan menyebabkan orang ramai boleh memperlekehkan titah Seri Paduka. Sebelum ini, sebarang titah daripada Ketua Negara tidak pernah lagi diperlekehkan, malah akur dan dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, rayuan Najib akan diperdengarkan hari ini berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Pendengaran yang asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu akan dimulakan pada pukul 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Jika Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Najib boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sekiranya beliau ingin mempertahankan titah tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, tindakan lanjut selepas keputusan mahkamah rayuan adalah lebih penting bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
“Kita mengharapkan mahkamah membuat keputusan yang betul. Sekiranya mahkamah mengesahkan titah adendum tidak wujud, maka kita perlu akur. Begitu juga sebaliknya.
“Namun, apa yang paling penting adalah tindakan susulan dari pihak yang memohon pengesahan kewujudan titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri itu,” katanya.
Tambah beliau, tidak menjadi masalah sekiranya rakyat Malaysia ingin hadir untuk mendengar dan mengetahui keputusan mahkamah hari ini.
“Mahkamah merupakan tempat awam. Sesiapa sahaja boleh hadir untuk mendengar perbicaraan. Tidak ada halangan.
“Namun, bagi organisasi, misalnya ahli parti politik yang menzahirkan hasrat mereka untuk pergi secara beramai-ramai, maka mereka ini memerlukan permit seperti yang tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012),” jelasnya.










