Terkilan tidak sempat penuhi hasrat terakhir adik 

Terkilan tidak sempat penuhi hasrat terakhir adik 

JENAZAH Muhd. Irham Tarmizi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaweh, Machang, Kelantan. - IHSAN KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Kakak kepada remaja yang maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu, Terengganu, kelmarin terkilan kerana tidak sempat membeli telefon bimbit baharu menggantikan telefonnya yang rosak.

Norain Damia Rusaini, 20, berkata, dia tidak sempat menunaikan hajat Muhd. Irham Tarmizi, 17, yang memintanya supaya membeli telefon baharu sebelum bertolak ke Kuala Terengganu bersama rakan-rakannya.

Katanya, arwah adiknya masuk ke biliknya dan meminta bantuan membeli telefon baharu dengan menggunakan wangnya sendiri.

“Saya tidak sempat membelinya kerana keluar berniaga dan pulang ke rumah lewat malam. Saya tidak sempat berjumpanya kerana dia sudah bertolak ke Kuala Terengganu.

“Saya tahu dia mahu bercuti bersama empat lagi rakannya yang sudah menunggu di pangsapuri yang sudah ditempah. Mereka dijangka pulang semula ke Kelantan esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelaweh,  di sini, semalam.

Terdahulu, seorang remaja lelaki yang sedang bercuti bersama lima rakannya ditemukan mati dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian, mangsa itu yang berasal dari Machang dikatakan menyewa sebuah unit rumah di pangsapuri berkenaan bersama lima rakannya.

Norain Damia berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya itu kira-kira pukul 5 petang kelmarin selepas dihubungi seorang rakannya yang ketika itu sudah berada Balai Polis Kuala Terengganu.

“Rakannya itu memaklumkan bahawa Muhd. Irham terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat enam pangsapuri ketika sedang duduk di beranda sambil bermain telefon. Lima rakannya yang lain pula sedang tidur,” katanya.

Menurutnya, ini adalah pengalaman pertama arwah adiknya bercuti bersama rakan-rakan kerana sebelum ini dia hanya makan angin dengan keluarga.

Katanya, difahamkan arwah adik sempat bersalaman, memeluk dan mencium ibu dalam masa yang lama sebelum keluar rumah.

“Ibu berasa pelik dengan perbuatan adik kerana tidak pernah berbuat demikian. Perubahan  sikap merupakan petanda mahu meninggalkan kami,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×