'Tentu ada yang tidak kena perairan Langkawi mudah bolos'

‘Tentu ada yang tidak kena perairan Langkawi mudah bolos’

PERAIRAN Langkawi sering menjadi pilihan golongan PATI dari Myanmar yang menaiki bot untuk masuk ke negara ini. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah senada dengan kerajaan negeri berkaitan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya kerana perairan pulau itu mudah dibolos.

Mohd. Suhaimi berkata, sudah tiba masanya perkara tersebut disiasat dengan telus termasuk mengenal pasti punca utama masalah tersebut sebelum isu berkenaan menjadi lebih serius.

“Tentulah ada (tali barut), sesuatu yang tidak kena di situ bila PATI ini mudah bolos kerana kalau kita kaji balik, perkara ini boleh jadi satu perniagaan yang boleh buat duit. Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi yang penting perkara ini perlu diatasi segera.

“Orang Langkawi sendiri semakin tidak selesa dengan kemasukan PATI ini termasuk penempatan di Bukit Malut itu. Penempatan di situ juga semakin bertambah hari demi hari, rumah makin bertambah. Kes terdahulu satu bot dapat ditahan dan dua dihalau, itu yang ‘terkena’, tetapi ‘terlepas’ kita tidak tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, polis menahan sebanyak 196 etnik Rohingya setelah mereka mendarat di kawasan Pantai Teluk Yu, Langkawi, manakala dua buah lagi bot PATI itu dipintasi agensi penguat kuasa ketika cuba menceroboh masuk ke pada keesokan harinya.

Mengulas lanjut kata Mohd. Suhaimi, beliau tidak menafikan kedudukan perairan Langkawi yang terletak bersebelahan dengan Thailand memudahkan bot PATI masuk ke negara ini.

“Laut Andaman itu cuma setengah jam daripada perairan Thailand di mana banyak pulau di situ. PATI ini menanti sahaja bila tidak ada kelibat pihak penguat kuasa, mereka akan terus masuk.

“Pangkalan pihak penguat kuasa kita terletak jauh di Kuah yang akan mengambil masa dua jam untuk ke sana bila orang kampung mahu buat aduan. Saya cadangkan agar satu depot diadakan di kawasan Laut Andaman ini untuk sementara waktu bagi memudahkan kawasan itu dipantau,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN