MUKADIMAH
NYANYIAN lagu-lagu dialek Kelantan dan dikir barat adalah antara keunikan yang ada di negeri itu sekali gus menyaksikannya mempunyai industri muziknya sendiri. Industri bersifat ‘lokal’ itu mula bertapak lewat 1980-an apabila karya-karya seni berbentuk lagu-lagu dikir barat mula dirakamkan dalam bentuk kaset.
Ia kemudian berkembang apabila lagu-lagu dialek Kelantan mula dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) sehingga jualan mampu mencecah RM150,000 unit.
Bagaimanapun, selepas 2015 permintaan terhadap CD dan VCD semakin berkurangan sehingga hari ini yang memberi kesan kepada industri muzik Kelantan.
Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH dan MUSTAQIM MOHAMED serta jurugambar KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN untuk melihat sejauh mana industri muzik Kelantan mampu bertahan.
KOTA BHARU: Hampir 100,000 klip video yang dimuat naik di platform YouTube untuk tontonan umum dengan carian ‘lagu Kelate’ didapati mempunyai kaitan dengan kombinasi dua perkataan tersebut.
Lebih menarik, hasil carian itu mendapati terdapat lebih 100 penyanyi lagu-lagu dialek Kelantan sama ada lama atau baharu pernah menghasilkan klip video komersial.
Kajian Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2014 mendapati antara 100,000 hingga 150,000 unit cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) lagu dialek termasuk dikir barat dijual setiap minggu di Kelantan dengan membawa pulangan kira-kira RM500,000 sebulan.

Sekitar 12 tahun lalu, klip video lagu saduran berjudul Dok Mano nyanyian duet Man Khan dan Rosalinda meraih tontonan hampir dua juta sekali gus memecah rekod yang dipegang oleh Anak Tupai (Halim Yazid) sebelum itu iaitu 1.2 juta.
Semua itu berubah selepas 2015 apabila penggiat terpaksa menukar strategi dengan beralih kepada platform YouTube bagi memastikan kerjaya seni mereka tidak terkubur sekali gus ‘lenyap’ ditelan arus kemodenan.
Namun, industri muzik Kelantan kembali menyinar apabila lagu Bey Sobar Bey atau Cinta Setandang Pisang hasil ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Fadil Turbo meletup sehingga menjadi siulan seluruh rakyat di negara ini selain meraih tontonan sebanyak 26 juta di YouTube.
KREATIF, BERKUALITI DAN ASLI
Bagi memastikan jangka hayat industri muzik Kelantan kekal revelan sekali gus menepati ‘selera’ pendengar, penggiat perlu lebih kreatif, berkualiti dan asli dalam menghasilkan lagu-lagu.
Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid berkata, ketiga-tiga elemen itu penting kerana ia menjadi ‘titik tolak’ kepada jangka hayat perjalanan seni Kelantan.
Menurutnya, pada masa sama karya-karya yang dihasilkan itu perlu ‘universal’ supaya dapat diterima oleh seluruh masyarakat di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan Pantai Timur.
“Lihat bagaimana lagu Bey Soba Bey menempa kejayaan yang boleh disifatkan sebagai luar biasa dan bagi saya situasi ini baik untuk dijadikan contoh kepada pengiat bagi memastikan lagu-lagu dialek Kelantan terus diterima di peringkat nasional,” katanya.
ERA DIGITAL
Dalam mendepani era digital, Raja Iskandar berkata, penggiat industri muzik Kelantan perlu berani meneroka platform media sosial dalam mempromosikan karya-karya mereka terutama melalui YouTube.
Katanya, usaha itu penting selepas era CD dan VCD berakhir sekitar 2015.
“Mereka (penggiat) perlu bijak menggunakan segala platform media sosial yang ada untuk mempromosikan hasil karya. Ini satu langkah yang perlu untuk industri kekal bertahan walaupun tidak semeriah era sebelum ini.
“Bagaimanapun, terdapat peningkatan trend penghasilan lagu-lagu baharu yang mampu bersaing di peringkat nasional. Saya yakin muzik Kelantan boleh bertahan dan lebih diterima oleh masyarakat di seluruh negara,” ujarnya.
BERI RUANG KEPADA LAGU DIALEK
Raja Iskandar berkata, stesen televisyen atau penyiaran perlu memberikan ruang yang luas kepada penggiat lagu-lagu dialek Kelantan mempromosikan hasil karya mereka.
Katanya, ia boleh dilakukan dengan mewujudkan satu slot khas secara mingguan yang boleh dijadikan sebagai platform untuk penggiat seni Kelantan menyebarkan karya masing-masing.
“Bagaimanapun saya berharap ia tidak tertumpu kepada Kelantan sahaja, sebaliknya boleh digunakan oleh penggiat lagu-lagu daerah termasuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
CIPTA MELODI SENDIRI, ELAK SADURAN
Sementara itu, pemilik sebuah studio rakaman terkenal di Kelantan iaitu K7 Studio, Kamarul Anuar Kamalluddin atau Kyo, 49, berkata, sudah tiba masanya pemain industri muzik Kelantan melakukan anjakan dengan mencipta melodi sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada lagu-lagu saduran sebagai ‘bahan’ utama.
Katanya, penggunaan lagu-lagu saduran menyebabkan karya mereka tidak dapat didaftarkan di YouTube, Spotify dan lain-lain sekali gus merugikan penggiat seni muzik Kelantan.
“Aplikasi dalam talian terikat dengan hakcipta. Perkara-perkara ini turut mempengaruhi jangka hayat industri muzik Kelantan selain penulisan lirik yang dihasilkan. Namun hari ini kita dapat melihat, pencipta dan penulis lagu-lagu daerah era baharu seperti Fadil Turbo sudah pandai membuat melodi dan adunan muzik mereka sendiri.
“Ia sesuatu perkara yang baik dan karya-karya mereka sudah mula dapat dipasarkan di semua platform dalam talian seperti YouTube, Spotify dan sebagainya,” ujarnya.
Kyo berkata, semasa era kaset, CD dan VCD boleh dikatakan hampir semuanya melodi yang digunakan dalam pembikinan album menggunakan lagu saduran yang sudah mempunyai hak cipta.
LIRIK
Kyo berkata, bait-bait lirik menarik dan segar mampu menambah jangka hayat kepada industri seni yang bersifat lokasi seperti lagu-lagu daerah Kelantan.
Katanya, perubahan era moden hari ini menyaksikan wujud perbezaan melibatkan nilai klasikal dan estetika kepada lagu-lagu daerah.
“Ini masalah sedikit kerana bagi golongan lama dilihat masih tegar mempertahan elemen keaslian dialek Kelantan dalam penulisan lirik lagu daerah. Sedangkan penulisan lirik oleh penggubah-penggubah era moden lebih banyak menerapkan atau dipengaruhi oleh bahasa-bahasa pasar era moden dalam dialek Kelantan.
“Ia tentu sangat berbeza dengan corak penulisan golongan lama. Boleh dikatakan sebenarnya golongan mudah hari ini masih boleh menerima jika kita masih mengekalkan corak penulisan lirik lagu daerah yang lama.
“Namun dari segi perspektif kita perlu juga membawa perubahan terutama dengan generasi kini amat aktif dengan platform media sosial seperti tiktok dan sebagainya, kita perlu cepat dan lirik lagu daerah juga perlu ada elemen kecepatan itu,” ujarnya. – UTUSAN










