Sokongan pengundi muda sukar dijangka

Sokongan pengundi muda sukar dijangka

PENINGKATAN bilangan pemimpin muda dalam politik tidak akan mencetuskan fenomena seperti pembentukan Muda sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengundi muda berusia 18 hingga 25 tahun sukar dijangka sokongannya kerana lebih fokus kepada isu semasa berbanding pengundi berusia 40 tahun ke atas yang terikat pada ideologi parti.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pengundi muda yang berpelajaran dan bermaklumat membuat keputusan berdasarkan keadaan pada tahun pilihan raya.

Katanya, dengan sikap ‘tunggu dan lihat’, keputusan sokongan hanya akan dibuat ketika hampir dengan tarikh pilihan raya berdasar keadaan semasa.

“Pengundi muda golongan atas pagar, bila tiba tahun pilihan raya, mereka terpengaruh dengan isu semasa.

“Jika mereka dapat manfaat dan melihat parti dipilih mampu mencorakkan masa depan lebih baik maka parti itulah yang akan pengaruhi fikiran mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seramai 77,831 pengundi baharu dalam tempoh dua tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membabitkan pendaftaran secara automatik dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Pecahan itu merangkumi 39,546 pengundi baharu pada tahun lalu yang menyaksikan peningkatan 1,261 berbanding 2022 iaitu 38,285 orang.

Wan Ahmad berkata, pengundi berusia yang telah melalui beberapa siri pilihan raya sering menunjukkan kecenderungan terhadap parti politik tertentu sesuai dengan ideologi perjuangan yang mereka sokong.

“Bagi pengundi muda, isu semasa dan keberhasilan dasar sesebuah parti dalam memperjuangkan kepentingan mereka akan menjadi faktor utama semasa memangkah undi nanti,” katanya.

Penganalisis politik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, pengundi muda cenderung membuat keputusan berdasarkan isu dan sentimen semasa yang relevan dengan kehidupan mereka seperti peluang pekerjaan berbanding ideologi atau pembangunan jangka panjang.

“Bagaimanapun, pola sokongan pengundi muda sukar dijangka kerana bergantung kepada keadaan politik seperti status kerajaan perpaduan dan strategi parti politik pada waktu pilihan raya itu nanti.

“Pengundi muda lebih memilih parti atau calon yang memenuhi keperluan peribadi mereka dengan segera dan ini menunjukkan kecenderungan terhadap politik yang populis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN