Sertai Himpunan Solidariti Najib bukan demi kepentingan politik Pas

Sertai Himpunan Solidariti Najib bukan demi kepentingan politik Pas

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas menafikan tindakan mereka mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi kepentingan politik parti itu.

Sebaliknya, usaha tersebut adalah bagi menunjukkan solidariti bersama Najib dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum melibatkan tahanan rumah selain demi semangat penyatuan ummah tanpa mengira fahaman politik.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas menggalakkan ahlinya untuk bersama menyertai perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan.

Hashim melihat perhimpunan berkenaan sebagai satu hikmah bagi menyatupadukan kembali Pas dan UMNO khususnya penyokong Najib yang dilihat lebih ke arah semangat penyatuan itu sebagaimana kerjasama Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

Katanya, perhimpunan ber­kenaan juga merupakan detik sesuai kepada gerakan penya­tuan ummah di mana parti-parti politik Melayu Islam bersatu dan berkumpul bersama bagi menyatakan solidariti terhadap Najib.

“Kita tidak halang ahli kita untuk bersama dalam himpunan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, tindakan Pas yang dilihat seperti ‘jaguh’ dalam mempertahankan Najib didakwa mempunyai agenda tersendiri demi kepentingan politik parti itu.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, parti Islam itu dikatakan sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempertahankan Najib pula pada kali ini meskipun Pas antara parti yang ‘menyerang’ pentadbiran bekas Perdana Menteri itu suatu ketika dahulu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengarahkan ahli parti itu berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan, di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Mahkamah Rayuan mene­tapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Sementara itu, Hashim berkata, kenyataan Khalid ko­nonnya Pas mempertahankan Najib demi kepentingan politik ada tidak berasas.

“Kita dah lama kenal dia (Khalid) yang dulu pun di dalam Pas. Dia yang lebih banyak bercakap politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×