ALOR SETAR: Isu penempatan haram Bukit Malut yang sudah puluhan tahun berlarutan perlu diselesaikan dengan sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana pihak yang mahu mengambil kesempatan terutama ahli politik sebagai modal untuk meraih undi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya sedar isu tersebut tidak mudah untuk diselesaikan tetapi memerlukan langkah susulan yang lebih drastik berbanding hanya mengumumkan perancangan dibuat.
Katanya, Cake bersetuju sekiranya kerajaan mahu membangunkan rumah yang lebih teratur di kawasan itu kepada penduduk yang berstatus Melayu Islam Kedah (MIK), bagaimanapun hasrat itu masih tidak direalisasikan sehingga kini.
“Isu Bukit Malut ini memang sudah lama, kita berharap pengumuman-pengumuman ini dilaksanakan dan bukan sekadar umum sahaja. Kalau tidak ia hanya retorik politik apabila rakyat sentuh baru nak jawab.
“Sebaliknya tetap tiada penyelesaian. Jadi kita harap modal-modal politik seperti ini tidak digunakan lagi tetapi memerlukan keazaman yang tinggi untuk selesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, suasana penempatan Bukit Malut di Langkawi yang sebahagiannya dihuni penduduk berstatus MIK masih sama sehingga ke hari ini. Tiada pembangunan semula, kediaman sedia ada terlalu rapat dan isu kebersihan yang terus membelenggu kawasan itu.
Cuma perubahan ketara yang dapat dilihat di Bukit Malut apabila tidak ada lagi pihak yang berani untuk membuat binaan baharu selepas mereka menyaksikan sendiri operasi perobohan bangunan yang dilaksanakan Permodalan Kedah Berhad (PKB), pada Jun 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu jawatankuasa khas dipengerusikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditubuhkan bagi membincangkan isu penempatan haram itu yang turut disertai Kerajaan Negeri Kedah.
Katanya, perkara itu juga di bawah perhatian khusus Kementerian Dalam Negeri (KDN). Beliau bagaimanapun memberitahu butiran hasil mesyuarat jawatankuasa itu belum dihebahkan buat masa ini.
Sementara itu, ujar Mohamad Yusrizal, kerajaan juga perlu melihat isu pelarian Rohingya yang didakwa menyelinap duduk di Bukit Malut bersama penduduk MIK sehingga menimbulkan pelbagai masalah.
“Kita nampak seolah-olah masalah ini sukar untuk diselesaikan, sekiranya nak buat penempatan semula, di mana pula lokasinya kerana sekarang ini pun di Bukit Malut sendiri sudah bermasalah.
“Kalau buat penempatan semula di tempat baharu, ia menimbulkan masalah sebab golongan ini sudah begitu agresif dan tempat mereka menjadi kotor sehingga orang luar tidak berani mendekati tempat itu.
“Jadi isu ini menjadi isu yang sangat sukar untuk diselesaikan kecuali pelarian Rohingya itu dihantar pulang ke negara asal dan beri keutamaan kepada penduduk yang berstatus MIK,” katanya. – UTUSAN