Rombongan pertunangan berakhir nahas jalan raya

Rombongan pertunangan berakhir nahas jalan raya

JENAZAH Widiani Afendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Wak Jabir, Benut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kegembiraan sebuah keluarga yang menyertai rombongan pertunangan berakhir apabila salah seorang waris terdekat maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini kelmarin.

Efendi Awang, 63, berkata, anaknya, Widiani Afendi, 39, maut akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Katanya, mereka sekeluarga sebelum itu telah pergi ke Muar untuk majlis pertunangan adik mangsa dengan berkonvoi sembilan kereta termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dinaiki anak kedua daripada empat beradik itu. 

“Ketika balik kami pulang, kami naik kenderaan asing kerana masing-masing ada urusan dan saya sampai di rumah di Simpang Renggam kira-kira pukul 5 petang. Namun kereta dinaiki arwah belum sampai sehingga waktu hampir Maghrib. 

“Saya kemudian risau dan cuba menghubungi isteri, Surati Sukarnoto yang turut sama dalam kenderaan dinaiki arwah dan seorang cucu. Saya terkejut apabila dimaklumkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Wak Jabir, Benut, semalam. 

Dalam kejadian itu, Widiani maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan MPV di Kilometer 86, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori dipandu Ng Kuang Hui, 53, dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam ke Ayer Hitam, manakala MPV dipandu Mohd. Nur Fitri Iskandar, 26, datang dari arah bertentangan. 

“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkannya berlanggar dengan MPV. 

“Akibatnya, Widiani mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kenyataan.

Sementara itu, menurut Efendi, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang petanda akan pergi selamanya ketika sepanjang perjalanan dan ketika berada di rumah majlis tunang adiknya.

Jenazah Widiani selamat dikebumikan bersebelahan kubur suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Wak Jabir, Benut kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Walaupun sedih dengan kejadian ini, namun saya reda dengan kehilangannya dan tidak menyangka suasana riang pada awal pagi bertukar duka pada petangnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×