SUNGAI PETANI: Kira-kira 200 petani melibatkan Kumpulan Petani Skim Kota 2 di Kota Kuala Muda, di sini semakin tertekan dengan tindakan pihak pengilang yang menetapkan harga belian padi tidak konsisten dan semakin rendah sejak November lalu.
Petani, Mohd. Yatim Ismail, 64, berkata, harga belian padi musim lepas iaitu pada Ogos 2024 adalah RM1,800 per tan metrik, namun diturunkan menjadi RM1,600 per tan metrik pada November.
Katanya, petani dimaklumkan harga belian padi akan diturunkan lagi sehingga mencecah harga lantai iaitu RM1,300 per tan metrik pada musim ini.
“Situasi ini membuatkan petani tertekan memandangkan kos pengeluaran penanaman padi sahaja yang meningkat, manakala harga belian padi pula semakin menurun.
“Kami rasa seperti ditindas apabila terpaksa menanggung kos pengeluaran yang semakin meningkat, namun harga belian padi semakin turun sehingga menjejaskan pendapatan kami setiap musim,” katanya ketika ditemui Kampung Kubang Jambu, semalam.
Petani, Azman Ahmad, 54, berkata, purata petani di kawasan itu mengusahakan kira-kira sembilan hektar sawah padi dengan anggaran kos pengeluaran minimum bagi 0.3 hektar yang ditanggung mereka antara RM2,500 hingga RM3,000 semusim.
“Jika pengilang membeli hasil padi dengan harga lantai RM1,300 per tan metrik, purata keuntungan petani untuk 0.3 hektar sawah hanyalah RM1,100 sahaja bagi satu musim.
“Kalau dibahagi dengan enam bulan iaitu semusim, pendapatan kami hanya sekitar RM366 sahaja sebulan untuk menyara hidup dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini,” katanya.
Tambahnya, mereka turut memohon kerajaan mempertimbang untuk memberi Skim Saraan Hidup Pesawah sebanyak RM300 sebulan bagi meringankan beban para petani.
“Kebanyakan petani di sini warga emas, dengan harga padi yang semakin menurun golongan muda sudah tidak berminat untuk usahakan sawah padi dan saya khuatir lama-kelamaan tiada pelapis untuk menjadi petani,” katanya.
Petani, Chuah Nya, 77, berharap harga belian padi dapat dikekalkan kepada minimum RM1,800 per tan metrik bagi membolehkan golongan petani terus bertahan dalam sektor itu.
“Sekarang ini semua mahal, upah traktor, racun, mesin padi mahal, ada masa hasil padi pun tak berapa menjadi, maka kami rugi. Kadang-kadang hasil padi 0.3 hektar tak sampai satu tan jadi saya harap sangat pihak yang terlibat dapat membantu kami,” katanya. – UTUSAN











