PETALING JAYA: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) perlu bertanggungjawab memainkan peranan dengan memberi pemahaman kepada golongan veteran dan masyarakat berhubung keistimewaan serta kelebihan ekosistem persaraan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia penting bagi memastikan konsep dan pemahaman persaraan dalam konteks perkhidmatan ATM difahami jelas semua pihak yang bukan sekadar berhenti bekerja sepenuhnya dan hanya bergantung kepada pencen bulanan.
Sebaliknya kata beliau, persaraan adalah peralihan kepada kerjaya kedua dan permulaan hidup baharu sebagai masyarakat awam.
“Majoriti veteran atau pesara ATM adalah mereka yang masih muda, masih berkeupayaan dan mempunyai potensi besar untuk menyertai tenaga kerja di pelbagai bidang di seluruh negara.
“Jadi, saya harap JHEV sendiri akan jelas akan perkara ini dan bersama-sama membantu menyemai pemahaman serta pemikiran sedemikian dalam kalangan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea JHEV Bersama Veteran Tentera di sini semalam.
Dalam majlis berasingan, Mohamed Khaled menerima kunjungan rakan sejawatan dari Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin dan delegasi di Wisma Pertahanan.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kunjungan hormat ini adalah bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi antara kedua-dua negara bagi memupuk kerjasama kukuh demi keamanan dan kestabilan serantau.
Selain itu katanya, pertemuan ini bukti hubungan erat yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia menerusi hubungan diplomatik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
“Dalam pertemuan itu kedua-dua menteri bertukar pandangan dan perspektif pertahanan serta keselamatan serantau.
“Selain itu, turut dibincangkan mengenai peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 dan Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia Ke-44 (GBC MALINDO Ke-44) yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada tahun ini bagi menangani cabaran keselamatan serantau secara kolektif,” katanya. – UTUSAN










