Pengalaman di penjara ibarat masuk 'dobi' untuk cuci hati'

Pengalaman di penjara ibarat masuk ‘dobi’ untuk cuci hati’ – Along Cham

ALONG Cham bersama ibunya selepas mahkamah membebas tanpa melepas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis di Mahkamah Sepang, Januari lalu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, menyifatkan pengalamannya sepanjang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh selama sebulan lebih dianggap sebagai ‘dobi’ untuk mencuci hatinya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan sebaik selesai diikat jamin di Kompleks Mahkamah Sepang di sini, pagi ini atas dua tuduhan kerana memiliki dan mengambil dadah.

Along Cham ketika ditemui gagal menahan air mata kesyukuran sebaik dibebaskan sementara dengan jaminan.

Sejurus selesai diikat jamin, Along Cham dilihat memeluk ibu, isteri, anak lelaki dan rakan-rakan artis lain, seperti Angah Raja Lawak dan Didie Alias.

Along Cham ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau bersyukur kerana perkara yang mustahil berlaku terhadap dirinya telah diberi jalan keluar oleh Allah SWT.

“Saya berterima kasih kepada barisan peguam saya. Hari ini, benda yang mustahil untuk berlaku Allah SWT telah beri jawapan.

“Saya akan berusaha keras untuk bersihkan nama saya. Saya agak ini dugaan dan ujian saya masuk ‘dobi’ untuk cuci hati saya. Allah SWT tahu mana yang terbaik untuk saya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga yang tahu diri saya yang sebenar. Semua peminat yang mendoakan saya dan terima kasih juga kepada pembenci saya kerana banyak juga fitnah yang saya dengar,” katanya.

Katanya, dia akui kerjayanya kini terjejas dan tertangguh termasuk projek hiburan bersama kenalan artisnya, Didie Alias.

Ditanya apa perancangannya selepas ini, Along Cham berkata, beliau merancang untuk mengeluarkan satu filem mengenai kisah benar tentang dirinya.

“Ramai orang tidak tahu ketika saya melangkah masuk (ke penjara), ada yang gembira dan tepuk tangan, namun saya serah bulat-bulat dan yakin Allah mengetahui segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Afreena ketika ditemui wartawan berkata, dia melahirkan rasa syukur kerana akhirnya suaminya dapat pulang ke pangkuannya dan anak-anak.

Katanya, selepas ini, suaminya akan kembali menjalankan rutin seperti biasa termasuk meneruskan kerja-kerja seninya.

“Syukur…syukur Alhamdulillah. Ini yang saya mahukan. Sejak 20 Disember lalu, saya dapat merasakan dia akan pulang. Alhamdulillah, hari ini dia dapat pulang. Sebelum ini, perasaan saya bercampur baur dan gementar. Saya tak tahu apa yang saya akan harapkan.

“Dia berhak untuk keluar. Tempat dia berada di rumah. Tempat dia bukan berada di penjara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN