Pelajar MRSM Kota Putra wakil Malaysia ke Korea Selatan

Pelajar MRSM Kota Putra wakil Malaysia ke Korea Selatan

RAJA Puteri Al-Zahra Raja Shamri (empat dari kiri) dan Muhammad Ziaa’ ‘Arif Mohd Zailani (tengah) ketika majlis pelepasan peserta pertandingan 26th International Robot Olympiad (IRO) 2025 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra, Besut, Terengganu. - UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Dua pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra, di sini akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Robotik di Busan, Korea Selatan minggu depan.

Guru pembimbing, Muhammad Baihaki Mohd. Ropiah berkata, Muhammad Ziaa’ ‘Arif Mohd. Zailani, 15, dan Raja Puteri Al-Zahra Raja Shamri, 15,menyertai pertan­dingan 26th International Robot Olympiad (IRO) 2025 berlangsung dari 16 Januari hingga 21 Januari ini.

Katanya, pasukan MRSM diwakili lapan pelajar dari empat buah MRSM di seluruh negara antaranya Kota Putra, MRSM Parit Perak, MRSM Gemencheh Negeri Sembilan serta MRSM Semporna, Sabah yang bertanding dalam ka­tegori masing-masing.

“Dua pelajar kita di MRSM Kota Putra akan bertanding dalam Kategori Kreatif dan Filem Kreatif. Mereka sebelum ini menjadi johan bagi kategori kreatif pada pertandingan Robo Challenge MRSM Se-Malaysia 2024, berlangsung di MRSM Bentong, Pahang,” katanya ketika ditemui di MRSM Kota Putra.

Muhammad Baihaki berkata, pelajar berkenaan akan menjalani latihan berpusat di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bermula 15 Januari ini selama seminggu sebelum berangkat ke Korea Selatan.

Pertandingan itu menguji ketangkasan peserta menghasilkan robot mengikut tema diberikan dalam tempoh tiga jam.

“MRSM Kota Putra turut berkolaborasi dengan Politeknik Kota Bharu dalam mengasah bakat dan pemindahan ilmu teknologi robotik dalam kalangan pelajar.

“Pertandingan itu juga memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu pengetahuan baharu dalam bidang robotik serta menjalinkan hubungan dengan pelajar antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN