PUTRAJAYA: Pasukan Tugas Jenayah Siber ASEAN akan ditubuhkan dalam usaha memerangi ancaman siber di rantau ini dengan lebih berkesan.
Di Malaysia, negara merekodkan kerugian kewangan melebihi RM1.22 bilion akibat jenayah siber dan ia kekal sebagai satu daripada ancaman keselamatan yang paling ketara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pasukan Tugas Jenayah Siber ASEAN akan memainkan peranan sama dilakukan Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (InterPol) yang akan memudahkan pertukaran maklumat perisikan masa nyata dan menjalinkan kerjasama serantau dalam memerangi ancaman siber.
“Malaysia sendiri sudah mengambil langkah penting dalam pemodenan penguatkuasaan undang-undang, memerangi keganasan dan pertahanan siber.
“Baru-baru ini, semasa Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global di China, saya menekankan keperluan mendesak untuk kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah transnasional.
“Hari ini, penjenayah beroperasi merentas sempadan, dan respons kita mesti sama dan diselaraskan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan The Asia International Security Summit and Expo 2025 (AiSSE 2025) di sini, semalam.
Katanya, Malaysia dan China juga sudah sepakat untuk menguatkan perkongsian maklumat, langkah kawalan sempadan, serta menangani jenayah siber, penipuan kewangan, dan perdagangan manusia.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif ini juga merangkumi program pembangunan kapasiti untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.
“Pada Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Transnasional (AMMTC) pula, Malaysia mengesahkan kembali komitmennya untuk melaksanakan Pelan Kerja Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) + China.
“Pelan kerja itu bertujuan memastikan rangkaian perkongsian maklumat yang lebih kukuh dan respons serantau yang lebih tersusun terhadap ancaman siber dan aktiviti haram,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan melabur dalam bidang kepolisan moden selaras usaha meningkatkan aspek pencegahan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko jenayah.
Beliau berkata, aspek kepolisan moden secara dasarnya memanfaatkan perkembangan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).
Katanya, sebagai contoh, Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asia (AseanaPol) kini menggunakan acuan dan peralatan terkini yang diintegrasikan untuk bekerja secara automatik.
“Saya yakin kepolisan moden tidak lagi harus meramaikan ‘omnipresence’ (kehadiran di mana-mana) anggota sama ada beruniform atau tidak beruniform di lokasi tertentu, sebaliknya lebih kepada peralatan.
“Justeru, kerajaan harus bertindak segera ke arah itu dalam memacu aspek pencegahan dan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










