PETALING JAYA: Negara tiada masalah melahirkan graduan berkemahiran teknologi dan teknikal seiring transformasi keperluan sektor industri dalam menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) juga diberikan kebebasan untuk merombak kursus pengajian dengan menyesuaikan elemen AI di dalamnya.
“Masyarakat seharusnya peka dengan AI dan beradaptasi dengan kemajuan ini. Malah, perkara sama juga perlu dilakukan oleh IPT untuk mengikuti perkembangan semasa selari keperluan industri pada masa akan datang dengan mengaplikasikan AI di dalam kursus pengajian.
“MQA memberikan kebebasan kepada IPT untuk merombak dan memberikan elemen AI di dalam kursus mereka mengikut kesesuaian.
“Namun, sekiranya IPT membuat perubahan melebih kadar 30 peratus, maka MQA akan membuat pengauditan institusi terhadap rombakan tersebut berdasarkan ketetapan digariskan oleh Kod Amalan Audit Institusi (COPIA),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, analisis terkini kerajaan dilaporkan lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia bakal dipengaruhi AI dalam tempoh 10 tahun akan datang membabitkan sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, cabaran tenaga mahir di Malaysia memerlukan perhatian segera apabila statistik menunjukkan lebih 600,000 pekerja perlu menjalani latihan semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk kekal relevan.
Mohammad Shatar berkata, negara ketika ini juga mempunyai pakar yang mencukupi di IPT untuk melahirkan graduan yang berkemahiran dalam tempoh 10 tahun.
“Namun, kita juga tidak boleh melupakan proses latihan semula (reskill) dan peningkatan kemahiran (upskilling) yang perlu dilakukan melalui seminar, bengkel agar mereka lebih bersedia.
“Pada sama juga, IPT perlu memperbanyak kerjasama dengan industri, agensi dan kementerian sebagai pendedahan awal kepada graduan,” katanya. – UTUSAN










