PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa mengesahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan didedahkan kepada umum.
Beliau yang juga salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan berkata, butiran minit mesyuarat itu adalah perkara sulit dan ia adalah hak Lembaga Pengampunan.
“Minit mesyuarat adalah perkara sulit. Kita tidak boleh buat perkara itu secara terbuka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kiosk Sentuhan Madani di pusat beli belah Alamanda di sini, semalam.
Kelmarin, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR yang juga Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, menyarankan kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan Titah Adendum.
Shamsul Iskandar berkata, ia bagi memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Selain itu, katanya, ia juga sebagai langkah bagi memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik.
Isnin lalu, dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Najib memberitahu perintah adendum berhubung tahanan rumah dihantar Istana Negara kepada peguam negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada 29 Januari 2024. – UTUSAN










