PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan jaringan sosial yang memfokuskan untuk membantu golongan B40 dan miskin tegar bagi memastikan mereka mendapat peluang lebih baik untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur berkata, fokus utama strategi ekonomi Malaysia tahun ini harus menitikberatkan aspek kos sara hidup, pemilikan rumah pertama dan pemerkasaan B40 dan M40.
Katanya, kerajaan juga perlu memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan menyediakan lebih banyak inisiatif pemilikan rumah mampu milik bagi membantu golongan ini.
“Pelaksanaan gaji minimum, gaji progresif dan kenaikan gaji penjawat awam perlu diteruskan untuk menampung keperluan rakyat di sebalik peningkatan kos barangan yang sukar dielakkan.
“Bantuan kerajaan dan sokongan swasta juga perlu dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat terpelihara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan ekonomi Malaysia tahun ini lebih baik dengan pelaksanaan beberapa inisiatif yang disasarkan untuk mensejahterakan masyarakat dengan berpandukan kerangka Ekonomi Madani.
Sebelum ini, Ekonomi Madani menggariskan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun, antaranya menjadikan Malaysia berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.
Mustazar berkata, kerajaan perlu meneliti semula sistem subsidi bersasar khususnya dalam aspek bahan api dan kos rawatan kesihatan agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak.
“Alternatif pembiayaan untuk pendidikan tinggi dan kos persekolahan boleh diperkenalkan melalui pinjaman pendidikan yang fleksibel dan mesra pelajar.
“Tadbir urus yang baik termasuk penguatkuasaan ketat di sempadan negara juga penting bagi memastikan subsidi dan insentif negara tidak disalahgunakan atau bocor ke negara lain,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu bersedia menghadapi cabaran populasi tua terutama golongan yang terlibat dalam ekonomi gig kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai simpanan hari tua seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau skim pencen.
“Strategi jangka panjang perlu dijangka untuk melindungi kebajikan mereka termasuk program simpanan hari tua dan sokongan penjagaan kesihatan bagi golongan ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, kerajaan perlu fokus merancang dan melaksanakan strategi untuk menangani perubahan geopolitik termasuk dasar diterapkan pentadbiran Donald Trump yang dijangka memberi impak kepada ekonomi negara, contohnya dasar tarif dikenakan terhadap China dan India boleh memberi peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport barangan ke Amerika Syarikat (AS).
“Perhatian lebih perlu diberikan kepada kualiti pendidikan dan kesihatan. Industri baharu seperti pusat data dan kecerdasan buatan (AI) memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang tersebut.
“Kita mahu tahu sejauh mana institusi pengajian tinggi (IPT) dapat menghasilkan graduan berkualiti dalam bidang ini,” katanya.
Tegasnya, sektor kesihatan juga memerlukan perhatian sewajarnya kerana negara masih kekurangan bilangan hospital terutama di kawasan bandar yang perlu diatasi dengan penambahan kemudahan.
Sementara itu, semua pihak termasuk sektor swasta harus memainkan peranan dalam mencapai kemakmuran bersama.
“Syarikat besar perlu mengambil tanggungjawab sosial dalam memberikan bantuan, contohnya ketika menghadapi bencana alam seperti banjir,” katanya. – UTUSAN











